menu

Program i-Usahawan Memperkasa Pembangunan Belia Tempatan

23 February 2022

​Program i-Usahawan sektor tenaga telah diperkenalkan pada 1hb Ogos 2018 bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan yang ke-13. Ia adalah merupakan sebuah inisiatif pembangunan keusahawanan belia di bawah pengendalian Kementerian Tenaga. Tujuan program ini diperkenalkan adalah untuk mendokong hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menggalakkan generasi belia negara untuk menceburi bidang keusahawanan. 

Program ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi melahirkan usahawan-usahawan belia yang mandiri dan mampu berdaya tahan dalam mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka, dan menjadikannya salah sebuah syarikat yang sentiasa berdaya saing dan mampan sama ada di dalam sektor tenaga mahupun sektor-sektor lainnya.

Melalui program ini, Rakyat Negara Brunei Darussalam yang berusia diantara 18 - 35 tahun yang berkelayakan adalah berpeluang untuk bersaing secara kompetitif untuk mendapatkan kontrak yang diperuntukkan daripada pihak Kerajaan, Syarikat Berkaitan dengan Kerajaan (Government-Linked Companies) dan juga Badan Berkanun (Statutory Body) di dalam sektor tenaga. Kontrak yang diperuntukkan ini adalah kontrak-kontrak yang berisiko rendah dan tidak memerlukan teknologi dan modal perniagaan yang terlalu tinggi. Antara contoh-contoh kontrak adalah perkhidmatan-perkhidmatan seperti pengurusan acara, penggambaran dan video, penyediaan dan penyelenggaraan mesin pencetak, pemotongan rumput, penyelenggaraan penghawa dingin, pembersihan pejabat dan lain-lain lagi.

Diantara kriteria dan syarat kelayakan utama untuk menyertai program ini ialah usahawan belia dan syarikat mereka tidak mempunyai kontrak dengan pihak Kerajaan, Syarikat Berkaitan dengan Kerajaan dan Badan Berkanun dalam tempoh masa 5 tahun kebelakangan. Selain daripada itu, usahawan belia selaku pemilik syarikat hendaklah aktif didalam menjalankan dan melibatkan diri dalam operasi harian perniagaan.

Setakat ini, sebanyak 39 kontrak daripada sektor tenaga telah dikenalpasti untuk program ini, termasuklah 9 kontrak daripada Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Kementerian Tenaga. Daripada jumlah kontrak ini, sebanyak 22 kontrak telah dianugerahkan kepada 32 orang usahawan belia, yang mana telah memberikan peluang pekerjaan kepada lebih kurang 300 orang anak tempatan. Ini adalah selaras dengan matlamat program ini untuk melahirkan perniagaan yang dijalankan 100 peratus oleh anak tempatan yang juga melaksanakan pengambilan 100 peratus pekerja anak tempatan.

Program i-Usahawan ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat diantara Kementerian Tenaga, Pemilik Kontrak iaitu pihak Kerajaan, atau Syarikat Berkaitan dengan Kerajaan, atau Badan Berkanun yang telah mengenalpasti kontrak berkenaan dan juga agensi-agensi yang memberikan latihan kemahiran keusahawanan seperti Darussalam Enterprise (DARe) dan Shell LiveWIRE.

Sepanjang perlaksanaan kontrak, usahawan belia yang berjaya akan diberikan bimbingan melalui sistem mentorship yang bertujuan untuk menambahbaik pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sebagai seorang usahawan yang akan sentiasa berdaya saing di dalam industri perniagaan, walaupun setelah tamatnya kontrak di dalam program i-Usahawan ini. Oleh yang demikian, usahawan-usahawan belia ini hendaklah komited dalam memastikan kontrak dijalankan mengikut garismasa yang ditetapkan dan memenuhi syarat-syarat keperluan kontrak seperti yang dipersetujui bersama Pemilik Kontrak. Kementerian Tenaga juga akan membuat pemantauan terhadap perlaksanaan program ini melalui perjumpaan bersama Pemilik Kontrak dan juga usahawan belia yang telah menjalankan kontrak mereka.

Dengan adanya inisiatif program keusahawanan untuk belia daripada Kementerian Tenaga ini, adalah diharapkan ianya akan dapat meningkatkan lagi hasil dan perbelanjaan dalam negara dari segi pembangunan perniagaan tempatan dan juga peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan di Negara Brunei Darussalam, khususnya di dalam sektor tenaga. Ini adalah selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Tenaga 2020-2025 melalui Objektif Strategi yang ke-6, iaitu untuk Mendokong Kemajuan Sosio-Ekonomi Melalui Penjanaan Limpah Kesan dari Sektor Tenaga. Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Program i-Usahawan sektor tenaga, sila layari laman sesawang Kementerian Tenaga https://www.me.gov.bn.