1) Mengenai perancangan kempen beli barangan tempatan secara meluas melalui kaedah pendekatan seluruh negara yang mengutamakan produk tempatan dalam urusan-urusan rasmi kerajaan; dengan pemasangan papan-papan tanda yang menarik di tempat-tempat tertentu dengan memasukkan slogan kata seperti ‘Beli Barangan Tempatan Kitani’ dan lain-lain; dan memupuk fahaman dan kesedaran tentang kepentingan membeli barangan tempatan dalam kalangan rakyat, keluarga dan penuntut sekolah.
2) Rancangan pihak Kementerian ke arah menjayakan kempen beli barangan tempatan secara meluas melalui kaedah pendekatan seluruh negara dan soalan Yang Berhormat Tuan Haji mengenai adakah pihak-pihak yang berkenaan menyediakan landasan sistem e-dagang khusus untuk PMKS dengan kos dan syarat termampu dan mesra berniaga?
Soalan daripada: Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung
Jawapan
1) Mengenai dengan usaha-usaha untuk menggalakkan pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan serta memupuk kefahaman dan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan membeli produk tempatan, pihak Darussalam Enterprise (DARe) telah melaksanakan beberapa inisiatif ke arah itu. Diantaranya adalah:
a. Program “Made in Brunei” yang kini telah ditukar nama (rebrand) kepada “Bruneian Made”
Dibawah program ini, pengusaha tempatan diberi kemudahan akses untuk menembusi pasaraya-pasaraya tempatan dengan penyediaan rak yang dikhaskan untuk produk-produk tempatan di pasaraya-pasaraya yang ikut serta. Setakat ini, rak “Made in Brunei” atau “Bruneian Made” telah ditempatkan di 7 buah pasar raya di Daerah Brunei Muara dan Tutong. Sebanyak 23 perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah mengikutinya setakat ini.
Di bawah program ini juga terdapat rak “Unexpected Treasures Display Shelf” yang pada masa ini telah ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Rizqun International Hotel dan Empire Hotel and Country Club. Tujuan Display Shelf ini adalah untuk membantu mengetengahkan produk-produk tempatan yang berkualiti tinggi dan eksklusif. Bagi inisiatif ini, pihak DARe telah bekerjasama dengan Bruvera bagi memudahan penjualan produk-produk tersebut secara on-line. Buat masa ini, sebanyak 9 buah PMKS telah menyertainya.
b. Pesta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Negara Brunei Darussalam (Brunei MSME Festival)
Pihak DARe dengan kerjasama beberapa agensi juga telah mengadakan Brunei MSME Festival 2019 selama 4 hari pada 28 hingga 31 Mac di Dewan BRIDEX, Jerudong. Tujuan Brunei MSME Festival ini adalah untuk membantu mengetengahkan lagi produk-produk tempatan di pasaran tempatan dan ke pasaran eksport juga. Brunei MSME Festival ini juga adalah diharapkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepelbagaian barangan dan perkhidmatan tempatan dan seterusnya mendorong perbelanjaan orang ramai kearah itu. Insya Allah, Pesta ini akan dikendalikan setiap tahun.
Ianya juga merupakan peluang untuk meningkatkan peluang-peluang business matching dengan rakan kongsi tempatan dan luar negeri agar dapat meluaskan lagi peredaran dan pendedahan produk-produk dan perkhidmatan tempatan.
c. BizBrunei (www.bizbrunei.com)
Tambahan lagi, melalui laman sesawang BizBrunei (www.bizbrunei.com) yang telah dilaksanakan sejak bulan Januari 2017, pihak DARe bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha tempatan untuk menerbitkan artikel dan video secara online untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pengusaha, produk dan perkhidmatan tempatan.
Setakat penghujung bulan Disember 2018, seramai 250 PMKS telah dipromosikan, dengan 682 artikel dan video yang telah ditonton 10.4 juta kali secara keseluruhannya dan diikuti oleh kira-kira 70 ribu orang.
3. Selain daripada itu, khususnya bagi kontrak-kontrak utama minyak dan gas, Arahan Local Business Development Directive II telah diperkenalkan sejak tahun 2011 yang bertujuan untuk meningkatkan pembelian dan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan serta pengambilan pekerja tempatan dalam perlaksanaan kontrak-kontrak tersebut. Arahan ini menetapkan kadar minima dalam bagi pembelian dan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan serta pengambilan pekerja tempatan mengikut jenis kontrak.
4. Pihak Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian akan terus memantau dan meneroka peluang-peluang untuk menggalakkan pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan, termasuk cadangan-cadangan Yang Berhormat Tuan Haji mengenainya.
B. LANDASAN SISTEM E-DAGANG UNTUK PERUSAHAAN-PERUSAHAAN MIKRO, KECIL DAN SEDERHANA (PMKS)
5. Mengenai dengan landasan sistem e-Dagang yang diutarakan, terdapat beberapa landasan dan inisiatif yang telah disediakan oleh beberapa agensi untuk memupuk perniagaan secara online.
6. Sepertimana yang disampaikan diatas, pihak Darussalam Enterprise (DARe) telah menyediakan laman sesawang Unexpected Treasures (www.unexpectedtreasures.com.bn) bagi mempamerkan beberapa produk tempatan.
7. Secara amnya, pihak Kerajaan menyokong pertumbuhan sistem-sistem e-dagang yang dapat mengumpul dan menaikkan profil perusahaan-perusahaan tempatan. Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AiTi) telah mengadakan acara Cyber Shopfest setiap tahun sejak tahun 2018 untuk menggalakkan orang ramai untuk membeli-belah dan meningkatkan penggunaan e-dagang tempatan juga menggalakkan pembeli tempatan untuk bergerak ke arah masyarakat tanpa wang tunai 'cashless society', termasuk melalui pengendalian platform e-dagang. PMKS tempatan dialu-alukan untuk menghubungi syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan platform e-dagang untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
8. Di samping itu, terdapat juga beberapa pengusaha start-up di iCentre yang menerima dukungan dan bantuan daripada pihak DARe bagi menjalankan dan menghasilkan platform e-dagang bagi mengumpul produk-produk dan perkhidmatan tempatan secara online. Sebagai contoh, Syarikat Rotuku Sdn. Bhd. yang telah mengikuti program latihan Startup Bootcamp anjuran DARe, kini menjalankan Program Pembangunan Produk (Product Development Program) bagi PMKS tempatan. PMKS yang berminat untuk memaparkan produk mereka di laman sesawang Rotuku (www.rotuku.com) dapat bermanfaat daripada program ini yang memberi khidmat bantuan untuk meningkatkan keberkesanan penjualannya dalam aspek-aspek berikut:
- Latihan perniagaan (Business Education)
- Ujian dan penilaian produk (Product testing and review)
- Konsultansi dan reka bentuk pembungkusan produk (Product packaging consultation and design)
- Khidmat bantuan pensijilan (Guidance for relevant certification)
- Photoshoot & Video blog (vBlog)
- Business matching
- Peredaran tempatan dan luar negeri (Local and International distribution)
9. Pihak DARe juga telah mengadakan beberapa bengkel bagi meningkatkan kemahiran dalam penggunaan perniagaan secara online, melalui program Akademi Perniagaan Industri (Industry Business Academy). Sementara itu, pihak AiTi juga menjalankan bengkel-bengkel celik ICT bagi orang ramai. Usaha-usaha ini bertujuan untuk memperkasakan para PMKS untuk sendiri mengenalpasti cara-cara untuk menggunakan kaedah e-dagang yang lebih bersesuaian kepada keperluan dan pasaran sasaran masing-masing.